mcmc
Makanan

MAKANAN TEMPATAN

Gulai Asam Rong

Gulai Asam Rong atau sebutan orang kampong gulai aserong adalah sajian tradisi yang menjadi kemestian dalam masakan harian malah kenduri-kendara di Batu Talam. Gulai asam rong lebih dikenali di sekitar Kg.Ulu Sungai dan Batu Talam, Raub & Ulu Tembeling, Jerantut. Terdapat dua jenis asam rong iaitu diperbuat dari buah perah dan satu lagi dari biji getah.  Orang kampung di Ulu Tembeling, Jerantut biasanya menghasilkan asam rong dari biji getah manakala masyarakat kampung di Raub hasilkan asam rong dari buah perah yang dikutip dari hutan. Cara menghasilkan asam rong samada dari buah perah atau biji getah adalah sama.  Buah perah ni selain boleh dijadikan asam rong, boleh juga dijeruk atau direbus. Jika di Raub, masakan asam rong yang paling sedap dan terkenal adalah dari belah Ulu Sungai dan Batu Talam. Pada bulan Ramadhan, kadang-kadang orang dari luar daerah seperti dari Lipis dan Bentong datang ke bazar di Batu Talam semata-mata untuk membeli masakan asam rong yang dijual di sini.

Buah perah adalah sejenis buah hutan yang batangnya jika cukup besar boleh ditebang dan dibuat balak. Buahnya akan meletup saling tak tumpah macam buah getah apabila sudah masak. Untuk menghasilkan asam rong, buah perah perlu melalui pelbagai proses seperti dibersihkan, dijemur, dikupas kulit, dijemur lagi, ditumbuk dan akhirnya diperam sekurang-kurangnya sebulan atau lebih, barulah sedia untuk dibuat gulai.  Jika nak merebus untuk dimakan, biasanya mereka yang pandai saja yang boleh membuatnya kerana jika silap cara, buah perah boleh memabukkan malah boleh membawa maut! Isi buah perah yang telah direbus mempunyai rasa agak masin dan berlemak. Berbeza pula dengan biji getah yang tidak boleh direbus untuk di makan seperti buah perah.

Warna asam rong yang diperam akan berubah dari warna putih ke warna hitam jika lebih lama di simpan. Lebih lama di simpan, lebih sedap gulai yang dihasilkan.  Antara bahan utama yang biasa dijadikan gulai asam rong ialah ikan sungai, ayam, perut atau daging terutama daging haiwan hutan seperti pelandok atau kancil. Tapi awas! Gulai asam rong ini sangat pedas! Gulai ni memang wajib pedas, barulah sedap.

 

Sambal Asam Rom

Sambal Asam Rom atau Sambal aserong juga dibuat daripada asam rong. Tetapi asam rong bersama ikan bilis dan cili api kampung ditumbuk separuh hancur, kemudian ditempek dan ditekan di atas kuali leper untuk digoreng seperti memasak lempeng. Api perlu dijaga agar tidak terlalu kuat yang boleh menyebabkan sambal hangus. Sambal juga perlu dijaga dan terbalikkan hingga masak. Awas! Masakan ini juga sangat pedas!

 

 

                       

                                     BUAH PERAH & ISI BUAH PERAH                                                                     

 

                     

                                              SAMBAL ASAM RONG

 

                           

                                                     ASAM RONG

 

           

                                      GULAI ASAM RONG PETAI & IKAN KELI