Asam Rong
Asam Rong atau sebutan orang kampong aserong adalah makanan tradisi yang menjadi kemestian dalam masakan harian malah kenduri-kendara di Batu Talam. Orang kampung di Ulu Tembeling, Jerantut biasanya menghasilkan asam rong dari biji getah manakala masyarakat kampung di Raub hasilkan asam rong dari buah perah yang dikutip dari hutan. Cara menghasilkan asam rong samada dari buah perah atau biji getah adalah sama. Buah perah ni selain boleh dijadikan asam rong, boleh juga dijeruk atau direbus. Jika di Raub, masakan asam rong yang paling sedap dan terkenal adalah dari Ulu Sungai dan Batu Talam. Pada bulan Ramadhan, kadang-kadang orang dari luar daerah seperti dari Lipis dan Bentong datang ke bazar di Batu Talam semata-mata untuk membeli masakan asam rong yang dijual di sini.
Pembuatan asam rong adalah agak rumit dan memerlukan masa yang agak panjang sebelum asam rong dapat dihasilkan. Bermula dengan mengutip buah perah di dalam hutan, buah yang dikutip perlu dijemur kering beberapa hari sebelum dikupas kulitnya dan isi buah perah yang putih akan dijemur lagi untuk beberapa hari sehingga kering dan warnanya berubah keperangan. Proses menjemur ini perlu diberi perhatian kerana perlu dipastikan agar betul-betul kering sebelum beralih ke langkah seterusnya. Malah perlu dielakkan sama sekali buah perah yang dijemur daripada terkena air serti air hujan. jika tidak, isi akan menjadi buruk dan tidak digunakan untuk membuat asam rong.
Setelah proses jemuran selesai, isi buah perah akan ditumbuk tidak terlalu hancur sebelum dimasukkan dan dimampatkan ke dalam balang atau botol. Garam kasar akan ditaburkan sebelum botol atau balang ditutup kemas dan diperam untuk tempoh masa yang lama sehingga warnanya berubah menjadi coklat atau sedikit gelap. Lebih lama isi buah perah diperam, rasa asam rong dihasilkan akan lebih sedap. Tetapi sewaktu tempoh peram juga perlu periksa jika isi yang diperam menghasilkan minyak yang banyak, maka minyak perlu dibuang atau kulat mungkin terhasil di bahagian atas, maka juga perlu dibuang kerana akan menjejaskan malah merosakkan kualiti asam rong yang akan dihasilkan.
Disebabkan proses menghasilkan asam rong memerlukan tenaga dan masa yang panjang serta komitmen yang tinggi, asam rong yang telah siap dijual dengan harga yang agak tinggi. Malah kebanyakkan penduduk mengupah pihak lain untuk membuat asam rong yang akan disimpan sepanjang tahun untuk bekalan di rumah.

Buah perah Asam rong Sambal asam rong
Gulai asam rong
