SEKUMPULAN gajah mengangkut emas melintasi bangunan yang kini dijadikan Rumah Rehat Raub bagi penginapan pelancong dan tetamu kenamaan.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Laporan_Khas/20141004/lk_01/Seraup-emas-sejarah-Raub#ixzz3FQaeuzWh
© Utusan Melayu (M) Bhd
ASAL-USUL NAMA DAERAH RAUB
Terdapat beberapa versi mengenai asal usul nama Raub. Perkataan Raub dalam Bahasa Melayu bermaksud ‘genggam’. Mengikut sejarah, pusat perlombongan ini dinamakan Raub selepas pelombong-pelombong menjumpai seraub emas pada setiap dulang pasir. Hal ini dinyatakan dengan menarik oleh J.A. Richardson dalam bukunya, The Geology and Mineral Resources of the Neighbourhood of Raub Pahang. Menurutnya; “People found that for every “dulang” of sand there was a handful (raub) of gold
“. Raub menjadi terkenal pada awal abad ke-20 kerana hasil emasnya. Syarikat lombong emas yang mengusahakan perlombongan di daerah ini ialah Raub Australian Gold
Mine (RAGM) yang didaftarkan pada 1889 di Queensland, Australia. RAGM juga dikenali sebagai Raub Gold
Mine. Pada awalnya syarikat lombong ini dikenali sebagai Australian Syndicate Ltd dan kemudian Australian Gold
Mining Co. Ltd pada 1892. RAGM beroperasi sehingga 1961.
Terdapat satu lagi versi cerita yang menjelaskan asal usul nama Raub ini. Menurut kepercayaan orang-orang tua daerah ini, Raub telah diteroka dan dibuka dalam kurun ke 18. Mengikut sumber-sumber yang diperolehi, dua orang pemuda bersama ayah mereka telah melalui hutan rimba serta menyusuri sebatang anak sungai. Setelah sekian lama mengembara mereka sampai ke tebat atau tebatan (satu kawasan di mana pengaliran air sungainya tersekat atau digelar empang). Sebaik sampai di situ, si ayah mengatakan kepada anaknya di situlah tempat yang paling sesuai untuk berehat. Kelihatan pasir di kiri dan kanan tebatan itu amat bersih. Kedua pemuda itu bersetuju dengan cadangan ayah mereka. Mereka pun mula membuka kawasan itu. Sekitarnya dibersihkan lalu didirikan sebuah pondok untuk kediaman mereka.
Setiap hari ketiga-tiga beranak itu memasuki hutan untuk mencari rotan, damar, getah, jelutung dan sebagainya. Mereka juga memetik pucuk dedaun yang begitu subur berhampiran tebatan untuk dijadikan makanan.Segeralah ketiga beranak itu meraup pasir-pasir di tebing tebatan itu dengan tangan masing-masing. Setiap kali diraup, setiap kali emas diperolehi. Disebabkan emas begitu banyak dan terlalu mudah untuk mendapatkannya; hanya menggunakan tangan untuk meraup, adalah dipercaya mereka menamakan tempat itu dengan gelaran “RAUB”. Sejak itu setiap hari mereka terus meraup emas. Kawasan tebatan yang pertama mengeluarkan emas tadi, sekarang ini ialah di Padang Besar Majlis Bandaran Daerah Raub. Bagaimanapun, jika gelaran nama Raub lahir daripada kerja meraup emas tadi, sedikit perbezaan timbul dari segi ejaan. Perkataan meraup emas lahir dari kata dasar “Raup”. Namun begitu, kemungkinan bahasa daerah itu lebih sesuai digunakan dengan ejaan RAUB dari “Raup”.
Terdapat juga pendapat yang terpencil yang menyatakan asal usul nama Raub adalah berasal dari perkataan Rao kerana suku kaum Rao telah mendominasi jumlah penduduk di kawasan terbabit sehingga digelar sebagai ‘lubuk orang Rao’. Oleh kerana peredaran masa, sebutan perkataan Rao itu telah bertukar menjadi Raub.
TERDAPAT JUGA PENDAPAT LAIN BERKAITAN SEJARAH RAUB :
BINGKISAN SEJARAH RAUB (Rao dan Pagaruyung:Pertaliannya dengan Raub dan Pahang)
BUKU-BUKU BERKAITAN SEJARAH RAUB JUGA BOLEH DIDAPATI SECARA ONLINE MELALUI FB :
SEJARAH NAMA JALAN-JALAN DI BANDAR RAUB
Jalan Datuk Abdullah, Bandar Raub
Nama penuh beliau ialah Abdullah b. Ibrahim. Beliau pernah menjadi Pegawai Daerah dan Pemungut Hasil Tanah Raub pada bulan September 1950 hingga April 1953.
Jalan Dato’ Setia Lela, Kawasan Bukit Koman, Raub
Nama penuh beliau ialah Tengku Haji Abdul Samad b. Tengku Muda. Dilahirkan pada tahun 1840 dan mangkat tahun 1916. Beliau pernah menjadi ‘Pawang’ semasa hayatnya. Dilantik menjadi Penghulu Mukim Gali pertama dari tahun 1900 hingga 1906.
Jalan Dato’ Setia Lela, Bandar Raub
Mengambil sempena satu gelaran yang dikurniakan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang.
Jalan Husein, Bandar Raub
Nama penuh beliau ialah Hussien b.Tok Muda Hassan. Beliau dilahirkan pada 12 Julai 1916 di Kampung Dong, Raub. Mendapat pendidikan di Maktab Melayu Kuala Kangsar, Perak.
Jalan Tan Tiong, Bandar Raub
Beliau dilahirkan di Negeri China dalam tahun 1880. Berpindah ke Raub pada tahun 1886. Meninggal dunia pada 8 Mac 1948. Semasa hayatnya beliau pernah menjadi ‘Sanitary Board Raub’ pada tahun 1900 dan meletakkan jawatan pada 19 Januari 1937. Beliau adalah Kapten Cina yang mula-mula dikurniakan Pingat Jasa Pendamai (JP) di Raub.
Jalan Tengku Kudin, Bandar Raub
Beliau telah dilahirkan di Kg. Durian Sebatang, Mukim Gali, Raub dalam tahun 1871 dan mangkat dalam tahun 1943. Nama penuh beliau ialah Tengku Kudin b. Tengku Haji Samad. Beliau adalah Penghulu Mukim Gali kedua dalam tahun 1906. Beliau bersara dari jawatannya dalam tahun 1928. Pada tahun 1929 beliau telah dikurniakan gelaran Dato’ Setia Lela Pahang oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang.
*Sumber dari Majlis Daerah Raub
ASAL-USUL NAMA KAMPUNG BATU TALAM
Masyarakat awal yang menetap di kampung ini menceritakan bahawa pada zaman dahulu penduduk kampung menggunakan sungai sebagai jalan pengangkutan dan aktiviti harian seperti membasuh pakaian, mandi dan sumber minuman. Sejarah bermula apabila pada satu hari telah diadakan majlis perkahwinan di kampung ini. Selesai saja majlis, pinggan mangkuk telah diletakkan di atas talam dan dibawa ke tepi sungai untuk dibasuh.
Pada ketika itu, lalulah sang kelembai di sungai tersebut. Tindakan penduduk kampung yang menegur sang kelembai telah menyebabkan makhluk itu marah dan menyumpah pinggan mangkuk serta talam tersebut menjadi batu yang menyerupai bentuk “talam”. Sejak itu, kampung ini diberi nama Kampung Batu Talam.
Namun begitu, mengikut cerita orang tua-tua Kampung Batu Talam, kampung ini sebenarnya mendapat namanya daripada sebongkah batu besar di tepi Sungai Lipis yang menyerupai sebuah talam yang besar. Kira-kira 100 tahun dahulu, batu itu telah dijadikan tempat oleh penduduk di sekitar kawasan berkenaan untuk mengadakan majlis keraian dan keramaian kerana keluasan batu tersebut yang mampu menampung 40 hidangan makanan pada satu masa selain menjadi tempat bersantai.
Kira-kira 50-60 tahun yang lalu, tinggalan batu tersebut masih dapat dilihat. Namun hakisan dan pelbagai punca semulajadi telah menyebabkan kesan tinggalan tersebut semakin mendap dan tenggelam dan akhirnya tidak lagi kelihatan. Kini, hanya segelintir warga tua tempatan yang pernah melihat dan masih mengingati kawasan sebenar tempat tinggalan batu besar tersebut.
Bekas penghulu Batu Talam, A. B. Lah Mat Isa, 59, berkata walaupun batu berkenaan masih ada namun ia sudah tidak kelihatan kerana ditenggelami air. Batu Talam juga satu ketika dahulu pernah menjadi kawasan mudik bagi sultan dan golongan diraja selain makmur dengan hasil tangkapan ikan sungai. Menurutnya lagi, “Kalau nak tanya siapa sebenarnya yang meletakkan nama Batu Talam memang susah nak dapat jawapan kerana kebanyakan orang tua-tua di sini telah meninggal dunia,”.
Mat Tiram, 86, bekas imam Masjid Batu Malim yang terletak dalam mukim Batu Talam, berkata orang zaman dahulu memang suka meletakkan nama sesuatu tempat mengikut bentuk batu yang terdapat di sungai. Menurutnya terdapat banyak nama tempat di Raub yang pangkalnya didahului dengan perkataan “batu” dan kebanyakannya memang diambil sempena bentuk batu yang menyerupai sesuatu objek seperti Batu Rusa, Batu Buaya, Batu Papan dan Batu Berlubang.
“Di Sungai Lipis dahulu memang banyak batu yang mirip sesuatu benda dan orang dahulu letak nama tempat berdasarkan bentuk batu yang mereka lihat. Ada juga yang mengatakan terdapat batu berbentuk talam dan pinggan mangkuk dalam jumlah yang besar di tepi sungai tersebut. Dari situlah nama Kampung Batu Talam tercipta. Dahulu batu-batu ni memang boleh dilihat tapi sekarang memang susah dah nak tengok batu ini sebab terendam dalam air.“
